Ahad, 6 Julai 2008

Jejak: Tokoh Falak Nusantara

Sheikh Muhammad Tahir juga dikenali sebagai ahli 'Kaum Muda' atau golongan ulama reformis
DI PANTAI Acheh, Pulau Pinang, ada sebuah pusat observatori dikenali sebagai Pusat Falak Sheikh Tahir yang menjadi tempat cerapan hilal dan kajian falak oleh Universiti Sains Malaysia (USM).

Tempat cerapan ini dinamakan sempena nama seorang ulama, tokoh besar dalam bidang Falak Syar’i yang memang terkenal di Nusantara iaitu Muhammad Tahir Syeikh Muhammad, yang juga dikenali sebagai Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari.

Beliau adalah tokoh bidang Falak Syar’i yang memantapkan bidang fardu kifayah di rantau Nusantara melalui pengajaran, penggunaan dan penyebaran ilmu berkenaan di kalangan alim ulama yang bertanggungjawab membuat taqwim Islam tempatan.

Sheikh Tahir dilahirkan pada hari Selasa 4 Ramadan 1286 Hijrah bersamaan 7 November 1869 di Ampat Angkat, Bukit Tinggi, Minangkabau, Sumatera Barat. Bapanya, Sheikh Muhammad (bergelar Tuanku Muhammad atau Tuanku Cangking) manakala datuknya keturunan bangsawan Minangkabau iaitu Tuanku Ahmad Jalaluddin.

Anak yatim ini dibesarkan keluarga sebelah ibunya dan ketika berumur hampir 12 tahun beliau dihantar ke Makkah untuk mendalami ilmu agama dan berada di sana lebih 12 tahun.

Di antara bidang ilmu yang dipelajari ialah ilmu al-Quran, Hadis, Tauhid, Fiqah, Usul Fiqh, Nahu, Saraf, Bayan, Ma'ani, Badi', 'Arudh, Mantiq, Tafsir, Hisab Handasah dan Falak.

Kehidupan dan keperibadian beliau banyak dipengaruhi oleh ilmu, pendekatan dan kealiman peribadi gurunya, Sheikh Ahmad Khatib iaitu saudara sepupu dengannya yang pada waktu itu dilantik sebagai Mufti Mazhab Shafie di Masjidil Haram.

Sheikh Tahir pulang ke Sumatera ketika berumur 24 tahun dan selepas empat tahun, beliau sekali ke Timur Tengah, iaitu Mesir.

Beliau mendalami bidang Falak ketika belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir selama empat tahun dan di situ beliau menerima pengaruh daripada pemikiran Sayid Jamaluddin Al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh, tokoh Gerakan Isiah (Pembersihan) dan Reformasi Islam yang berjuang membersihkan Islam daripada fahaman yang bercampur adat resam kuno serta mengembalikan Islam ke landasan al-Quran dan hadis.

Disebabkan kegiatan Sheikh Tahir yang berkait dengan pemikiran reformasi itu, beliau dikenali sebagai ahli ‘Kaum Muda’ atau golongan ulama reformis di kalangan masyarakat Melayu-Nusantara.

Ketika di Mesir, beliau berdampingan dengan tokoh perjuang Islam seperti Sheikh Muhammad Rashid Ridha yang bergiat dalam penulisan rencana melalui akhbar berunsur Islam seperti Al-Manar.

Sheikh Tahir pernah menyumbangkan rencana ilmiah di akhbar berkenaan. Pendekatan sama beliau gunakan ketika kembali ke Tanah Melayu dengan membuat banyak sumbangan kepada majalah Al-lmam dan Al-lkhwan (kelolaan Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi dan rakannya, selain akhbar Saudara).

Beliau pernah dipenjarakan oleh penjajah Belanda atas tuduhan palsu. Bagaimanapun, selepas ditahan selama enam bulan, beliau dibebaskan. Sheikh Tahir mempunyai semangat anti penjajah yang kuat, berpendirian tegas dan keras dalam hal keagamaan.

Inilah di antara aspek peribadinya yang menyebabkan Sheikh Tahir tidak dapat menetap lama di sesuatu tempat, di samping adanya pergeseran dengan golongan ulama ‘Kaum Tua’ serta tidak suka terkongkong dengan ikatan adat hidup terlalu kuat termasuk Adat Pepatih.

Dalam zaman mudanya, Sheikh Tahir kerap berulang-alik ke Makkah dan Mesir sama ada untuk membawa jemaah haji dari Sumatera atau untuk menjalankan perniagaan secara sampingan.

Berdasarkan maklumat Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), beliau menjadi Hakim Besar Mahkamah Syariah di Taiping, Perak sebelum dilantik sebagai Mufti Perak selama tiga tahun di era pemerintahan Sultan Idris. Bagaimanapun, banyak fatwa Sheikh Tahir tidak diterima oleh ulama golongan 'Kaum Tua'.

Sheikh Tahir kemudian berkhidmat di Johor pada 1914 sebagai pendidik dan nazir sekolah agama Johor selama empat tahun dan disambung lagi selama 3 tahun dari 1925 hingga 1928.

Pada masa sama, beliau sempat berkhidmat sebagai mudir (guru besar) Madrasah Haji Muhammad Taib, di Parit Jamil, Muar iaitu sebuah sekolah menengah agama yang memberi pembelajaran Islam menyeluruh sambil menekankan bahawa Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris hendaklah dipelajari untuk menambahkan ilmu pengetahuan.

Dalam dunia pendidikan, Sheikh Tahir sentiasa mempunyai pemikiran dan pandangan yang jauh ke hadapan daripada pemikiran semasa dalam zamannya. Beliau pernah bermastautin di Singapura untuk memberi sumbangan penulisan dan penerbitan majalah Al-Imam.

Beliau berkhidmat di Madrasah Al-Masyhoor Pulau Pinang sebagai pendidik dan pengetua selama tiga tahun (1920 hingga 1923) sebelum pulang ke Kuala Kangsar, Perak.

Sheikh Tahir ke Makkah sekali lagi pada 1928 dan bersara di Kuala Kangsar, Perak pada 1029. Walaupun bersara, beliau terus aktif sehingga akhir hayatnya sebagai ulama penulis dan ahli Falak Syar’i yang menabur khidmat baktinya kepada ramai penuntut dan anak muridnya yang kemudian menjadi ulama.


PROFIL: Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al_Falaki Al-Azhar

  • Dilahirkan pada hari Selasa 4 Ramadan 1286 Hijrah bersamaan 7 November 1869 di Ampat Angkat, Bukit Tinggi Minangkabau, Sumatera Barat.
  • Kembali ke rahmatullah pada pagi Jumaat 21 Rabiulawal 1377 (bersamaan 26 Oktober 1956) pada usia 87 tahun.
  • Dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Baru, Kuala Kangsar, Perak.
  • Jabatan Muzium Negara mengisytiharkan tempat pemakaman beliau sebagai makam bersejarah untuk memperingati jasa beliau.
  • Kerajaan Negeri Pulau Pinang menamakan sebuah Pusat Observatori di Pantai Acheh Pulau Pinang sebagai Pusat Falak Sheikh Tahir, bagi memperingati peranan dan ketokohan beliau dalam bidang Falak.
  • Bersara di Kuala Kangsar, Perak mulai 1350 (1929).
  • Berkahwin enam kali dan yang terakhir dengan Aishah Haji Mustafa, anak seorang saudagar dari Kuala Kangsar, Perak.
  • Mereka mempunyai enam anak iaitu Rahmah, Muhammad, Ahmad, Azizah, Hamdan dan Hamid.
  • Anak kelimanya, Tun Hamdan Sheikh Tahir cemerlang dalam dunia pendidikan dan kerjayanya sehingga menjawat beberapa jawatan tinggi dan mendapat gelaran Tun serta menjadi Tuan Yang Terutama Yang dipertua Negeri Pulau Pinang.
FAKTA: Falak Syarie

  • Aspek Falak Syar’i, melahirkan kitab Natijatul'Umur (diterbitkan pada 1936) iaitu Taqwim Hijrah dan persamaannya dengan Taqwim Miladi (Masehi), hala kiblat, dan waktu solat untuk sepanjang zaman.
  • Kitab Jadual Pati Kiraan iaitu panduan untuk menentukan waktu solat dan arah kiblat berserta logarithms untuk mengiranya (diterbitkan pada 1362H./1941M.).

Rujukan: Jejak: Tokoh Falak Nusantara

Tiada ulasan: