Sabtu, 17 Januari 2009

Ibn Khaldun (1332 - 1406 M.)

Ibn Khaldun, nama sebenarnya, Abd. Al-Rahman Ibn Muhammad. Ibn Khaldun lahir di Tunisia. Beliau merupakan pemikir unggul, sejarawan dan ahli sosiologi Islam.

Ibn Khaldun menganggap bahawa kehidupan bandar ialah kehidupan bertamadun. Kehidupan bandar terbentuk apabila lahir semangat assabiah atau kekitaan. Hasilnya, wujud semangat bekerjasama dan saling membantu.

Penulisannya banyak berasaskan pengalaman sebenar yang dilaluinya. Dalam karya ulungnya, iaitu Muqaddimah, beliau telah menggunakan istilah umran yang bermakna tanah yang didiami secara tetap, berkembang dan maju dan istilah hadarah yang bermakna hidup di bandar. Hadarah yang dimaksudkan oleh Ibn Khaldun ialah kehidupan di bandar yang penuh dengan tatasusila, kesopanan, dan moral yang tinggi. Karya beliau ini telah menjadi rujukan sarjana Barat dalam bidang sosiologi, antropologi dan sejarah.

Ahad, 6 Julai 2008

Jejak: Tokoh Falak Nusantara

Sheikh Muhammad Tahir juga dikenali sebagai ahli 'Kaum Muda' atau golongan ulama reformis
DI PANTAI Acheh, Pulau Pinang, ada sebuah pusat observatori dikenali sebagai Pusat Falak Sheikh Tahir yang menjadi tempat cerapan hilal dan kajian falak oleh Universiti Sains Malaysia (USM).

Tempat cerapan ini dinamakan sempena nama seorang ulama, tokoh besar dalam bidang Falak Syar’i yang memang terkenal di Nusantara iaitu Muhammad Tahir Syeikh Muhammad, yang juga dikenali sebagai Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari.

Beliau adalah tokoh bidang Falak Syar’i yang memantapkan bidang fardu kifayah di rantau Nusantara melalui pengajaran, penggunaan dan penyebaran ilmu berkenaan di kalangan alim ulama yang bertanggungjawab membuat taqwim Islam tempatan.

Sheikh Tahir dilahirkan pada hari Selasa 4 Ramadan 1286 Hijrah bersamaan 7 November 1869 di Ampat Angkat, Bukit Tinggi, Minangkabau, Sumatera Barat. Bapanya, Sheikh Muhammad (bergelar Tuanku Muhammad atau Tuanku Cangking) manakala datuknya keturunan bangsawan Minangkabau iaitu Tuanku Ahmad Jalaluddin.

Anak yatim ini dibesarkan keluarga sebelah ibunya dan ketika berumur hampir 12 tahun beliau dihantar ke Makkah untuk mendalami ilmu agama dan berada di sana lebih 12 tahun.

Di antara bidang ilmu yang dipelajari ialah ilmu al-Quran, Hadis, Tauhid, Fiqah, Usul Fiqh, Nahu, Saraf, Bayan, Ma'ani, Badi', 'Arudh, Mantiq, Tafsir, Hisab Handasah dan Falak.

Kehidupan dan keperibadian beliau banyak dipengaruhi oleh ilmu, pendekatan dan kealiman peribadi gurunya, Sheikh Ahmad Khatib iaitu saudara sepupu dengannya yang pada waktu itu dilantik sebagai Mufti Mazhab Shafie di Masjidil Haram.

Sheikh Tahir pulang ke Sumatera ketika berumur 24 tahun dan selepas empat tahun, beliau sekali ke Timur Tengah, iaitu Mesir.

Beliau mendalami bidang Falak ketika belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir selama empat tahun dan di situ beliau menerima pengaruh daripada pemikiran Sayid Jamaluddin Al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh, tokoh Gerakan Isiah (Pembersihan) dan Reformasi Islam yang berjuang membersihkan Islam daripada fahaman yang bercampur adat resam kuno serta mengembalikan Islam ke landasan al-Quran dan hadis.

Disebabkan kegiatan Sheikh Tahir yang berkait dengan pemikiran reformasi itu, beliau dikenali sebagai ahli ‘Kaum Muda’ atau golongan ulama reformis di kalangan masyarakat Melayu-Nusantara.

Ketika di Mesir, beliau berdampingan dengan tokoh perjuang Islam seperti Sheikh Muhammad Rashid Ridha yang bergiat dalam penulisan rencana melalui akhbar berunsur Islam seperti Al-Manar.

Sheikh Tahir pernah menyumbangkan rencana ilmiah di akhbar berkenaan. Pendekatan sama beliau gunakan ketika kembali ke Tanah Melayu dengan membuat banyak sumbangan kepada majalah Al-lmam dan Al-lkhwan (kelolaan Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi dan rakannya, selain akhbar Saudara).

Beliau pernah dipenjarakan oleh penjajah Belanda atas tuduhan palsu. Bagaimanapun, selepas ditahan selama enam bulan, beliau dibebaskan. Sheikh Tahir mempunyai semangat anti penjajah yang kuat, berpendirian tegas dan keras dalam hal keagamaan.

Inilah di antara aspek peribadinya yang menyebabkan Sheikh Tahir tidak dapat menetap lama di sesuatu tempat, di samping adanya pergeseran dengan golongan ulama ‘Kaum Tua’ serta tidak suka terkongkong dengan ikatan adat hidup terlalu kuat termasuk Adat Pepatih.

Dalam zaman mudanya, Sheikh Tahir kerap berulang-alik ke Makkah dan Mesir sama ada untuk membawa jemaah haji dari Sumatera atau untuk menjalankan perniagaan secara sampingan.

Berdasarkan maklumat Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), beliau menjadi Hakim Besar Mahkamah Syariah di Taiping, Perak sebelum dilantik sebagai Mufti Perak selama tiga tahun di era pemerintahan Sultan Idris. Bagaimanapun, banyak fatwa Sheikh Tahir tidak diterima oleh ulama golongan 'Kaum Tua'.

Sheikh Tahir kemudian berkhidmat di Johor pada 1914 sebagai pendidik dan nazir sekolah agama Johor selama empat tahun dan disambung lagi selama 3 tahun dari 1925 hingga 1928.

Pada masa sama, beliau sempat berkhidmat sebagai mudir (guru besar) Madrasah Haji Muhammad Taib, di Parit Jamil, Muar iaitu sebuah sekolah menengah agama yang memberi pembelajaran Islam menyeluruh sambil menekankan bahawa Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris hendaklah dipelajari untuk menambahkan ilmu pengetahuan.

Dalam dunia pendidikan, Sheikh Tahir sentiasa mempunyai pemikiran dan pandangan yang jauh ke hadapan daripada pemikiran semasa dalam zamannya. Beliau pernah bermastautin di Singapura untuk memberi sumbangan penulisan dan penerbitan majalah Al-Imam.

Beliau berkhidmat di Madrasah Al-Masyhoor Pulau Pinang sebagai pendidik dan pengetua selama tiga tahun (1920 hingga 1923) sebelum pulang ke Kuala Kangsar, Perak.

Sheikh Tahir ke Makkah sekali lagi pada 1928 dan bersara di Kuala Kangsar, Perak pada 1029. Walaupun bersara, beliau terus aktif sehingga akhir hayatnya sebagai ulama penulis dan ahli Falak Syar’i yang menabur khidmat baktinya kepada ramai penuntut dan anak muridnya yang kemudian menjadi ulama.


PROFIL: Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al_Falaki Al-Azhar

  • Dilahirkan pada hari Selasa 4 Ramadan 1286 Hijrah bersamaan 7 November 1869 di Ampat Angkat, Bukit Tinggi Minangkabau, Sumatera Barat.
  • Kembali ke rahmatullah pada pagi Jumaat 21 Rabiulawal 1377 (bersamaan 26 Oktober 1956) pada usia 87 tahun.
  • Dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Baru, Kuala Kangsar, Perak.
  • Jabatan Muzium Negara mengisytiharkan tempat pemakaman beliau sebagai makam bersejarah untuk memperingati jasa beliau.
  • Kerajaan Negeri Pulau Pinang menamakan sebuah Pusat Observatori di Pantai Acheh Pulau Pinang sebagai Pusat Falak Sheikh Tahir, bagi memperingati peranan dan ketokohan beliau dalam bidang Falak.
  • Bersara di Kuala Kangsar, Perak mulai 1350 (1929).
  • Berkahwin enam kali dan yang terakhir dengan Aishah Haji Mustafa, anak seorang saudagar dari Kuala Kangsar, Perak.
  • Mereka mempunyai enam anak iaitu Rahmah, Muhammad, Ahmad, Azizah, Hamdan dan Hamid.
  • Anak kelimanya, Tun Hamdan Sheikh Tahir cemerlang dalam dunia pendidikan dan kerjayanya sehingga menjawat beberapa jawatan tinggi dan mendapat gelaran Tun serta menjadi Tuan Yang Terutama Yang dipertua Negeri Pulau Pinang.
FAKTA: Falak Syarie

  • Aspek Falak Syar’i, melahirkan kitab Natijatul'Umur (diterbitkan pada 1936) iaitu Taqwim Hijrah dan persamaannya dengan Taqwim Miladi (Masehi), hala kiblat, dan waktu solat untuk sepanjang zaman.
  • Kitab Jadual Pati Kiraan iaitu panduan untuk menentukan waktu solat dan arah kiblat berserta logarithms untuk mengiranya (diterbitkan pada 1362H./1941M.).

Rujukan: Jejak: Tokoh Falak Nusantara

Sabtu, 5 Julai 2008

PIAGAM MADINAH

Piagam Madinah adalah piagam pertama yang ditulis secara rasmi dalam sejarah dunia.

MAKSUD PIAGAM MADINAH

  • Perlembagaan yang ditulis dan dipersetujui bersama semua golongan (orang Islam dan Yahudi) yang menjadi warganegara Madinah Al-Munawwarah pimpinan Rasulullah SAW.
  • Disebut Sahifah al-Madinah (perlembagaan bertulis pertama di dunia).
  • Menjadi asas pembentukan sebuah Negara Islam.


PERISTIWA SEBELUM PENGGUBALAN PIAGAM MADINAH

1. PERJANJIAN AQABAH PERTAMA:

  • 12 orang penduduk Madinah ke Makkah bertemu Rasulullah SAW, berjanji meninggalkan perkara syirik, mencuri, berzina, membunuh anak, tidak menipu serta taat perintah Rasulullah SAW.

2. PENERIMAAN MASYARAKAT YATHRIB TERHADAP AGAMA ISLAM:

  • Mus’ab bin Umair diutus ke Yathrib mengajar al-Quran oleh Rasulullah SAW.
  • Dakwah Mus’ab diterima baik penduduk Aus dan Khazraj.
  • Akhirnya ramai yang memeluk Islam.

3. PERJANJIAN AQABAH KEDUA:

  • Tahun berikutnya, Mus’ab membawa 73 orang lelaki dan 2 orang wanita Madinah.
  • Mereka berbai’ah akan memelihara dan mempertahankan Rasulullah SAW, berikrar taat setia ketika susah dan senang, tidak berpecah dan bercakap benar di mana sahaja.


KANDUNGAN PIAGAM MADINAH

  • Terdapat 10 Bahagian dan mengandungi 47 fasal.
  • 23 fasal mengenal peraturan sesama Islam dan 24 fasal tentang orang Yahudi.
  • Antara kandungannya ialah:
  1. Mengakui Nabi Muhammad SAW, ketua Negara Madinah.
  2. Mengakui Ansar dan Muhajirin sebagai umat yang bertanggungjawab terhadap agama, rasul dan masyarakat Islam.
  3. Setiap kaum bebas beragama dan mengamalkan cara hidup masing-masing.
  4. Orang Islam dan Yahudi bertanggungjawab terhadap keselamatan Negara daripada serangan musuh.
  5. Orang Yahudi dibenarkan hidup dengan cara mereka serta menghormati orang Islam tetapi tidak dibenarkan melindungi orang Musyrikin Quraisy.
  6. Setiap masyarakat bertanggungjawab menjaga keselamatan dan mengekalkan perpaduan di Madinah.
  7. Setiap individu tidak boleh menyakiti dan memusuhi individu atau kaum lain. Hendaklah tolong-menolong demi pembangunan, ekonomi, dan keselamatan.
  8. Setiap kaum perlu merujuk Rasulullah SAW (ketua negara) jika berlaku perbalahan.
  9. Mana-mana pihak dilarang berhubungan dengan pihak luar terutama Musyrikin Mekah dan sekutu mereka.
  10. Piagam ini mempunyai kuasa melindungi pihak yang mempersetujuinya dan hak mengambil tindakan pada sesiapa yang melanggarnya.

Rujukan: Bab 18: Kepimpinan Rasulullah Di Madinah (Siri 1)

Jumaat, 4 Julai 2008

Sumayyah binti Khabbab

"Sumayyah binti Khabbab merupakan hamba kepada Abu Huzaifah bin Al-Mughirah iaitu seorang pembesar Quraisy dan telah menetap bersama Abu Huzaifah sedari kecil lagi memandangkan beliau seorang anak yatim piatu. Perwatakan beliau yang baik dan taat kepada perintah tuannya sememangnya menjadikan beliau cukup disegani walaupun taraf beliau hanya sebagai seorang hamba yang berkulit hitam. Beliau juga ditakdirkan berkahwin dengan Yasir yang juga bekerja dengan Abu Huzaifah. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Ammar. Sumayyah sekeluarga merupakan antara individu yang terawal memeluk agama Islam yang dibawa oleh junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W. di Mekah."


Kisah beliau yang masih dikenang adalah saat beliau sekeluarga ditangkap oleh Abu Jahal dan kuncu-kuncunya. Dengan ketabahan hati Sumayyah sekeluarga serta taat setianya mereka kepada Islam, mereka tidak gentar dengan seksaan-seksaan yang dilakukan oleh Abu Jahal dan kuncu-kuncunya. Nabi Muhammad yang melihat kejadian tersebut juga tidak mampu berbuat apa-apa. Baginda hanya mampu bersabda, “Bersabarlah keluarga Yasir. Sesungguhnya kamu semua dijanjikan syurga.” Dalil ini menunjukkan jaminan Rasulullah kepada mereka sekeluarga sebagai penghuni Syurga Jannatun Naim. Akhirnya dengan balingan lembing oleh Abu Jahal, mereka sekeluarga gugur syahid dan Sumayyah merupakan wanita pertama Islam yang gugur syahid.

Sumbangan Sumaiyah amat bermakna dalam mempertahankan kesucian akidah Islam.
Antaranya:
  1. Berani menyatakan yang hak.
  2. Sanggup mempertaruhkan nyawa kerana mempertahankan kesucian akidah.
  3. Memberi imej yang baik kepada umat Islam dalam soal mempertahankan agama Islam.
  4. Memperteguh keyakinan dan keazaman penganut Islam yang lain untuk meneruskan perjuangan.

Seksaan terhadap Sumayyah sekeluarga
  • Kaki dan tangan mereka diikat dan diheret ke tengah padang pasir yang panas terik
  • Rumah mereka dibakar
  • Dicucuk dengan besi panas
  • Ditikam dengan lembing
  • Dicungkil biji mata
  • Dibenam ke dalam air

Khamis, 3 Julai 2008

Sejarah Jalur Gemilang

Bendera Malaysia
Jalur Gemilang dicipta oleh Allahyarham Mohamed Hamzah yang ketika itu berusia 29 tahun dan merupakan seorang arkitek di JKR (Jabatan Kerja Raya) di Johor Bahru, Johor.

Bendera Malaysia telah disahkan oleh King George VI pada 19 Mei 1950 dan pertama kali dikibarkan di depan Istana Selangor pada 26 Mei 1950.

Allahyarham Mohamed Hamzah meninggal dunia ketika berusia 75 tahun, pada 13 Februari 1993 di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee, Johor.

Tokoh: Hassan Al-Banna

Pada 12 Februari 1949, Hassan Al-Banna telah meninggal dunia, iaitu dua hari sebelum Hari Memperingati Valentinus.

Maka, adalah wajar jika kita memperingati pemergian tokoh terbilang Islam ini, pada setiap 12 Februari, bagi setiap tahun.

Rujukan: Duke Amiene Rev > Tokoh: Hassan Al Banna

Rabu, 2 Julai 2008

Cadangan Tunku Abdul Rahman dalam Gagasan Persekutuan Malaysia

Tunku Abdul rahman telah mengemukakan gagasan Persekutuan Malaysia dalam suatu majlis makan tengah hari Persatuan Wartawan-wartawan Luar Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961. Antara kandungan ucapan beliau dalam majlis tersebut adalah seperti berikut:

"...Lambat-laun Tanah Melayu harus bersefahaman dengan Britain dan rakyat-rakyat Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak. Adalah agak terlalu awal untuk saya menyebutkan cara bagaimana persefahaman itu dapat dicapai, namun tidak dapat dielakkan bahawa kita perlu mencapai objektif ini dan memikirkan satu rancangan bagaimana wilayah-wilayah ini dapat dibawa kepada satu kerjasama politik ekonomi yang rapat...".


Akrib Negara Malaysia, 1981.
Gagasan Persekutuan Malaysia.
Hari Ini dalam Sejarah Jld. II,
Kuala Lumpur: Percetakan Negara.